Rabu, 8 Mei 2013

1 Bangsa Senang Membangunkan Negara

Isu orang Cina bersatu mahu tumbangkan Melayu, hanya merugikan orang Malaysia.

Kita selalu kata, orang Korea, Jepun berjaya sebab mereka cuma ada satu bangsa sahaja, iaitu bangsa Korea dan Jepun, jadi mudah bagi mereka membangunkan negara.

Pointnya sudah ada, '1 bangsa' bagi membangunkan negara, tetapi sampai sekarang masih ada lagi slogan 'Melayu perlu bersatu'. Sepatutnya, slogan yang dilaungkan, 'Melayu bersatu dengan Cina dan India', barulah boleh jadi 'satu bangsa'.

Ok, katakanlah, DAP itu Cina dan mahu memerintah seperti kes Singapura dahulu. Mengapa ia terjadi? Adakah waktu itu Melayu tidak bersatu dan lemah, lalu tunduk kepada LKY?

Melayu pada waktu itu kuat bukan main, bersatu lagi tetapi Singapura tetap pergi. Antara sebabnya, orang Melayu kata Cina mahu memerintah dan menindas, Cina pula kata, orang Melayu kalau perintah mereka ditindas.

AKhirnya semua orang berasa mahu ditindas. Hakikatnya, yang menindas bukan orang Cina, dan bukan orang Melayu, tetapi 'orang jahat'.

Orang jahat ini, semua bangsa ada. Ada orang jahat Cina, ada orang jahat Melayu.

Selagi mana kita bersatu hanya berdasarkan 'bangsa', selagi itulah kita senyap2 membenarkan 'orang jahat' terus menindas.

Orang baik Melayu dan orang baik Cina perlu bersatu menentang orang jahat Melayu dan orang jahat Cina. Itu barulah betul.

Berkenaan PRU 13, analisisnya, DAP banyak menang sebab Cina bersatu undi Cina. Kalau begitu, sepatutnya Rafizi kalah, sebab lawan dengan calon Cina. Ini tidak, boleh menang besar lagi.

Sekiranya dilihat, yang DAP ini banyak menang di kawasan bandar. Kawasan orang Cina yang terdedah pemikirannya dengan pelbagai maklumat. Maklumat dari internet dan sebagainya.

Orang Cina boleh dikatakan adalah kaum yang paling celik berkenaan 'perlembagaan', berbanding orang Melayu.

Mereka faham, 'kerajaan' dan 'parti politik' itu berbeza. Mereka faham, 'kewajiban' sebuah kerajaan. Jadi, gula2 mengatakan, 'kerajaan BN sudah memperuntukkan sekian2 juta kepada orang Cina', tidak berkesan sebab mereka faham yang, itu memang kewajipan 'kerajaan'.

Ibaratnya, kita bayar buruh buat rumah kita. Jadi memang kewajipan buruh tadi bina rumah, siap ada tangga, tingkap, pintu. Takkanlah, buruh yang kita bayar tadi boleh kata, 'Tuan perlu membalas budi saya, sebab saya sudah buat pintu rumah Tuan'.

Lainlah kalau buruh tadi buat lagi jalan dan taman di hadapan rumah.

Jadi apa sebenarnya yang perlu kita takutkan sekarang? Yang kita perlu takutkan, adalah 'isu perkauman', yang senyap2 ditiup.

Isu perkauman bermula dengan kata, 'orang Cina pijak kepala orang Melayu'. Hakikatnya, 'orang jahat Melayu Cina', yang pijak kepala rakyat. Perlu dibezakan di situ.

Kesimpulannya, orang Melayu Umno dan PAS, sekiranya bersatu teguh bercerai roboh sekalipun, tetap Malaysia tetap tidak ke mana, tetap akan hilang tanah, sekiranya tidak mula 'bersatu' dengan kaum lain di Malaysia.

Adakah ini terlalu idealistik? Sekiranya kita kita ia tidak realistik, jadi bagaimana dengan saranan agama yang menyuruh kita berbaik-baik dengan kaum lain? Adakah agama juga sudah terlalu idealistik?

Sekian. Ada keperluan, nanti tambah lagi.

Yang ini boleh share ramai2. Biar orang Cina, India tahu, masih ramai lagi orang Melayu, yang masih 'waras'.

Sumber dari FB Bahruddin Bekri

Selasa, 7 Mei 2013

Kajian kemenangan Cina selepas PRU 13

MENOLAK AUTA DENGAN FAKTA…

Kecoh sekarang ni ahli parlimen Malaysia ramai yang Bukan Melayu. Aduhai.. adakah kita mengalami kerosakan minda yg parah.. DAP bertanding di kawasan Cina menghampiri majority dan lawannya adalah MCA, MIC dan Gerakan.

Jika DAP kalah sekalipun Melayu tak akan bertambah dalam Parlimen sebab DAP lawan MCA, MIC dan GERAKAN. Malah Kemenangan Pakatan Rakyat ini menyebabkan Melayu bertambah dalam Parlimen dan DUN, saya bagi contoh:-

Kerusi Parlimen :-
1. Rafizi (PKR) menang vs Gary Lim (BN) - PANDAN
2. Dr Siti Mariah (PAS) Menang vs S. Murugesan (BN) - KOTA RAJA
3. Tan Sri Khalid (PKR) Menang vs Tan Kok Eng (BN) - BDR TUN RAZAK
4. Imran Hamid (PKR) menang vs Kong Cho Ha (BN) - LUMUT
5. Dato Arif (DAP) menang vs Hoh Khai Mun (BN) - RAUB
6. Kamarul Bahrin (PKR) menang vs V.S Mogan (BN) TLK KEMAMANG
7. Khairil K. Johari menang vs Teh Leong Meng (BN) BKT BENDERA

Kesimpulannya :
Menang Pakatan Rakyat bermakna 7 Ahli Parlimen Melayu bertambah dalam Parlimen. Jika Pakatan Rakyat Kalah, kita akan kehilangan 7 ahli parlimen Melayu

Kerusi DUN:-
1. Azman Nasarudin (PKR) menang vs S. Ananthan (BN) – LUNAS, Kedah
2. Dato Anuar Abdullah (PAS) menang vs Tan Ken Ten (BN) – KOTA LAMA, Kelantan
3. Azan Ismail (PKR) menang vs Dato Toh Chin (BN) – BANDAR, Terengganu
4. Tengku Zulpuri (DAP) menang vs Dato Chuah Boon (BN) – MENTAKAB, Pahang
5. Mohd Rashid (PKR) menang vs Wong Mun (BN) - PANTAI JERJAK, Penang
6. Dr Idris (PKR) menang vs K. Parthiban (BN) – IJOK, Selangor
7. Amunul Huda (PAS) menang vs Teo Yew (BN)- PARIT YANI, Johor
8. Abdullah Husin (PAS) menang vs M. Sorianarayan (BN) – PUTERI WANGSA, Johor

Orang bertanya kepada saya bagaimana pula seorang Melayu, Ghani Othman boleh kalah dengan Lim Kit Siang. Saya katakan Ghani Othman cari penyakit. Dia bertanding di kawasan (Cina 52%) (Melayu 34%) selebihnya India. Parlimen ini dulunya adalah milik MCA.

Kalau UMNO masih bangkitkan isu Melayu dan bukan Melayu ni. Saya nak tanya bagaimana pula Kawasan majoriti Melayu, bukan Melayu BN boleh menang. Melayu UMNO undi siapa? saya senaraikan

1. PARLIMEN Smpg Renggam (M- 56%) Suhaizan (PAS) kalah vs Liang Teck Meng (BN)
2. PARLIMEN Tjng Piai (M- 52 %) Dr Mahzir (DAP) Kalah vs Wee Jack (BN)
3.PARLIMEN Batu Sapi (Islam 51%) Hamzah (PAS ) Kalah vs Tsen Tsau (BN)

4. DUN Gurun (M- 57%) Salma Ismail (PKR) Kalah vs. Dr Leong (BN)
5. DUN Cheka (M- 69%) Cikgu Abas (PKR) kalah vs Dato Fong (BN)
6. DUN Gambir (M- 56%) Dato Mahfoz Mohd (PAS) kalah vs M. Aso (BN)
7. DUN Chenderiang (M-36%, C-30%) Amani Abdullah (PKR) kalah vs Dr Mah Hang(BN)
8. DUN Pemanis (M- 56%) Cikgu Normala (PAS) Kalah vs Lau Chin (BN)
9. DUN Kahang (M-74%) Hamdan (PKR) kalah vs R. Vidyanathan (BN)
10. DUN Pulai Sebatang (M-63%) Ungku Mohd Nor kalah vs Dato Tee Seiw (BN)
11. DUN Tg Aru (Islam – 52%) Hamid Ismail (PAS) kalah vs Yong Oui (BN)
12. DUN Bingkor (Islam 38%) Ahmad Shah (PKR) kalah vs Kennedy John (BN)
13. DUN Merotai (Islam-53%) Ahmad Dullah (PAS) kalah vs. Pang Yuk Ming (BN)
P48 Bukit Bendera, DAP vs Gerakan (74% Cina 14% Melayu).
Calon DAP, Zairil Khir Johari berbangsa MELAYU menang melawan Gerakan Teh Leong Meng di kerusi majoriti CINA.

P80 Raub, DAP vs MCA (50% M, 40% C).
Calon DAP, Ariff Sabri berbangsa MELAYU menang melawan MCA Ho Khai Mun di kerusi majoriti MELAYU.

P100 Pandan, PKR vs MCA (48% C, 44% M)
Calon PKR Mohd Rafizi Bin Ramli menang melawan MCA Lim Chin Yee di kerusi majoriti CINA

P124 Bandar Tun Razak, PKR vs MCA (52% M, 37% C)
Calon PKR Abd Khalid Bin Ibrahim menang melawan MCA Tan Kok Eng di kerusi majoriti MELAYU


akan diupdate...

Coretan PRU13 - BN, PR, Perkauman Tsunami Cina

Saya adalah orang Melayu yang beragama Islam. Saya juga tidak minta di lahirkan sebagai Melayu sebagaimana anda tidak meminta dilahirkan sebagai seorang Cina, India, Kadazan, Iban & sebagainya. Yang paling penting, saya adalah Muslim & InshaAllah akan mati sebagai seorang Muslim.

Tulisan saya ini khas untuk semua & saya mulakan dengan penyokong PR. Saya menyokong manifesto dan dasar yang diperjuangkan PR dalam PRU lepas tetapi saya menerima BN sebagai pemerintah & kerajaan walaupun ada yang berkata terdapat penipuan tetapi saya mengutamakan kedaulatan negara dari dicemari. Pemimpin mencerminkan rakyat & anda yang tewas dalam PRU13 masih ada masa 5 tahun untuk 'berkempen' sebelum PRU 14.

Kedua ditujukan kepada BN, jangan berkata DAP mahupun Cina menolak Melayu dan Racist. Kenapa bila dulu MCA menang banyak tak dikatakan mereka racist dan adakah pernah MCA menyenaraikan calon Melayu untuk PRU dalam sejarah mereka? MCA juga ditolak ramai Cina sedangkan MCA adalah parti Cina? Dari 15 kerusi parlimen pada PRU 12, kini mereka hanya ada 7 kerusi. MCA juga ditolak oleh orang Cina, Melayu & India. Bila Gerakan dengan ramai ADUN & MP Cina sebelum PRU 12 kenapa pula tidak dikatakan racist dan ada agenda? Adakah kerana mereka parti gabungan BN maka anda berdiam diri? Cina tidak menolak Melayu kerana jikalau anda rajin mengkaji, kenapa Rafizi seorang Melayu boleh menang di Pandan yang banyak pengundi Cina? Ibrahim Ali & Zulkifili Noordin kalah di kawasan yang banyak pengundi Melayu. Orang Cina hanya kurang dari 20% dari penduduk Malaysia jadi kenapa Cina yang selalu dikambing hitamkan? Jangan salahkan Cina mahupun Melayu ataupun India jikalau sokongan berkurangan tetapi tanya diri kenapa rakyat Malaysia menolak gagasan 1 Malaysia anda. Yang jelas sebenarnya rakyat jelata baik Melayu, India, Cina, Jawa, Bangla mahupun Iban menolak politik perkauman yang menjadi senjata setiap PRU terdahulu. Rakyat makin matang berfikir dan menilai.

Usah meniupkan api perkauman baik dari PR mahupun BN. Usah juga kongsikan gambar atau dokumen yang anda sendiri tidak pasti kesahihannya lalu dikatakan inilah agenda mereka. Sediakah kita menjawab di depan Allah jikalau ianya adalah palsu akibat teruja sangat untuk berkongsi info yang kita sendiri tidak pasti? Sedihnya ramai Muslim terjebak dalam isu sebegini dan mengapakah ini terjadi sedangkan isu perkauman adalah mainan jahiliyyah dan apakah kita masih terperangkap dengan bisikan syaitan?

Yang telah menang, tunaikan janji anda. Penyokong calon dan parti yang menang, ingatkan mereka akan janji yang ditabur. Yang kalah, fikirkan di mana silapnya dan teruskan berkhidmat dan bukannya muncul apabila tiba musim PRU. Wahai saudara seIslam, ingatlah bahawa Allah SWT memberikan kekuasaan kepada siapa yang Dia kehendaki dan hidup ini adalah ujian bagi setiap manusia.

Dari kita bercakap mengenai perkauman dan bangsa, mari kita mengembeling tenaga mendakwahi mereka agar mereka menjadi saudara seakidah dengan kita walaupun berlainan bangsa. Allah SWT tidak akan bertanya apakah bangsa dan kaum kita tetapi InshaAllah kita akan ditanya apakah yang telah kita lakukan dengan Nur Islam yang Allah telah kurniakan kepada kita dan pastikan kita ada jawapan di akhirat kelak.

Yang buruk datang dari kelemahan saya sendiri dan yg baik dan sebaik baiknya adalah dari pemberian dan nikmat Allah..

Fahmi Salleh 2013

Hakcipta dari FB Fahmi Salleh

SEMBANG POLITIK #2: SATU ANALISIS PRU13

Posting saya yang pertama berkaitan dengan politik telah mendapat maklum balas yang sangat banyak dan aktif. Ia sangat membuka minda dan membuatkan kita melihat perubahan landskap politik negara dari sudut yang lebih meluas. Mana-mana komen yang beremosi, terpaksa saya ‘delete’ demi menjaga keharmonian. Sebab kita mahukan diskusi ilmiah yang mematangkan fikiran bukan menyakitkan hati dan perasaan. Malah ada yang terpaksa saya ‘ban’ kerana mereka masih menyerang dengan kata-kata kesat meski pun telah diberikan amaran.

Daripada beratus-ratus komen yang diberikan, ia membuatkan saya melihat dari sudut pandang yang agak berbeza.

Apa yang berlaku daripada keputusan piliharaya yang telah diumumkan secara rasmi, BN secara keseluruhannya mengalami tamparan yang teruk dengan kekalahan beberapa menteri dan menteri besar, serta kemerosotan kerusi DUN dan PARLIMEN.

Apa yang kita lihat mungkin Tsunami Pengundi Cina yang beralih arah kepada PR (bukan sekadar DAP). Tetapi apa yang lebih tepat ialah Tsunami sebahagian besar pengundi tidak kira Cina, Melayu, India dan lain-lain. Ini dapat dilihat daripada keputusan pilihanraya itu sendiri dan ini adalah satu ‘wake up call’ kepada BN.

Seruan perubahan ini telah disambut oleh beberapa golongan iaitu 1) Golongan pengundi muda, Gen-Y, yang banyak terdedah kepada media sosial. Golongan ini tiada apa yang perlu mereka takuti. Minda mereka tidak terpengaruh dengan isu-isu perkauman dan mereka ini lahir dalam zaman lepas merdeka. 2) Kaum Cina yang kebanyakannya bekerja sendiri, berniaga atau bekerja dengan syarikat swasta. Golongan ini juga tiada apa yang mereka takuti. Mereka tidak bergantung kepada pemberian, sebab itulah usaha memancing mereka ini tidak akan berhasil. 3) Orang Islam yang menuntut kepimpinan yang amanah, telus, adil, berintegriti dan kredibel serta usaha-usaha yang lebih merakyat.

Apa yang berlaku, kita tidak boleh melihat semuanya sebagai perkauman (racist). Ramai juga penyokong Cina yang beralih arah itu kerana sudah letih dan sebagai tanda protes terhadap apa yang berlaku. Malah mereka mengankat pula bendera PAS tanpa segan silu. Bermakna ada sesuatu yang ada dalam fikiran mereka ini melangkaui aspek perkauman. Setelah lebih 50 tahun BN menerajui negara, maka banyak pembongkaran telah dibuat melalui media baru. Sama ada apa yang dibongkarkan itu tepat, tidak tepat atau kurang tepat itu tidak lagi penting, yang penting ia berjaya melakukan satu gelombang yang menuntut agar dilakukan satu perubahan atau transformasi secara yang lebih besar dan lebih menyeluruh terhadap integriti pemimpin, cara mengurus dan kebajikan rakyat.

Apabila ia tidak nampak usaha membenteras dan mengatasinya dilakukan dengan serius, atau pada tahap yang memuaskan, maka rakyat (daripada 3 golongan di atas ) bangkit dan membuktikannya melalui pilihanraya. Cuma bezanya, Cina yang lebih ramai secara berani menyahut seruan perubahan yang PR laungkan ini. Maka kesannya, kerusi MCA banyak yang hilang iaitu daripada 15 kini tinggal 6 kerusi sahaja. Dan GERAKAN daripada 2 kini tinggal hanya 1 kerusi. Bagi sesetengah pihak, ia dikatakan perkauman (namun secara peribadi sentimen perkauman bukan perkara utama dalam PRU13 ini, tetapi ia lebih kepada sentimen mahukan perubahan). Bagi Kaum Cina sendiri ia dilihat sebagai satu pengorbanan dan percaturan politik. MCA dan MIC menjadi tidak berdaya disebabkan mereka tidak mampu menepis segala pendedahan-pendedahan dan isu-isu yang telah dibangkitkan kesan daripada pemerintahan BN sebelum ini.

Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan BN yang baru dibentuk dan diterajui oleh PM Dato’ Seri Najib kali ini bagi mengembalikan kepercayaan rakyat.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah:

1) Melantik barisan Menteri Kabinet daripada mereka yang berintegriti dan boleh bekerja untuk rakyat.
2) Memperbaiki cara mengurus dan menyalur sumber agar lebih efisien, telus dan adil dan mengurangkan pembaziran dan ketirisan.
3) Mengambil kira manisfesto PR dan memanfaatkannya untuk kebaikan rakyat.
4) Merapatkan jurang perkauman dengan tidak lagi dilagu-lagukan dan ditakut-takutkan dengan isu-isu yang menimbulkan rasa tidak selamat dan tidak harmoni.
5) Meneruskan usaha-usaha 1 Malaysia yang sampai kepada golongan yang berpendapatan rendah dan luar bandar tanpa mengira parti.
6) Melakukan pembangunan secara menyeluruh tanpa mengira negeri itu di bawah pemerintahan siapa.
7) Lebih Islamik dalam kepimpinan dan meningkatkan kuasa yang ada pada Mahkamah Syariah dan mula secara perlahan-lahan memberikan kefahaman tentang Islam kepada orang bukan Islam agar mereka mampu menerima undang-undang Islam dan melihat akan kebaikannya.
8) Dan pelbagai usaha yang baik dari semasa ke semasa.

Dengan cara ini, 5 tahun daripada sekarang, pastinya rakyat akan memberikan mandat yang lebih besar kepada mereka dalam PRU14.

Wah, banyaknya saya tulis kali ini.

SIla berikan pandangan tuan puan. Bincangkan secara berhemah sebab tulisan kita lambang peribadi kita. Anda boleh untuk tidak bersetuju. Fanpage saya ini aktif, oleh itu tulisan anda mungkin dibaca oleh mereka yang punya akses untuk lakukan perubahan ini.

NOTA: Keputusan sudah rasmi, yang mahu dibincangkan ialah apa yang patut dilakukan untuk 5 tahun ini . Membicarakan soal blackout, dakwat dan hantu, tidak akan berkesudahan. Bukan kerana ia tidak penting, tetapi kerana keputusan sudah rasmi. Jadi fokus terhadap apa yang perlu dilakukan dalam 5 tahun ini.

Hakcipta dari : FB Dr. Tengku Asmadi bin T. Mohamad